Thursday, January 12, 2006

aidiladha, haji dan korban

aidiladha
kau tiba pada 10 Zulhijah
tahun Hijrah bagi umat Islam

hari raya haji
hari itu
penuh bermakna
mungkin berkesempatan mengerjakan haji
tuntutan rukun Islam
pada jasad yang kerdil
dalamnya ada hati, jiwa dan naluri
seketul isi hati yang bersih putih
kosong, namun berisi amal ibadat tidak nampak mata yang melihat
bercoret dengan kata-kata iman dan ayat suci
bermujahadah, jihad melawan hawa nafsu nafsi

korban
menghampiri diri kepada Maha Esa
dengan sedekah kepada fakir miskin
seikhlas mungkin
pada isi alam yang ketawa dan menangis
meratapi nasib diri
yang belum tahu diuntung
yang mengerti jerih perih pengorbanan
dalam diri, duniawi dan ukhrawi


korban itu
tanda kesyukuran pada yang mencipta
lembu, kerbau, kambing dan yang layak untuk dikorbankan
menghayati semangat Korban
yang dilahirkan daripada pengabdian Nabi Ismail
dan Nabi Ibrahim kepada Allah
tentang cinta dan kasih
Nabi Allah Ibrahim kepada anaknya Ismail
Cinta dan kasih kepada anaknya
tidak boleh mengatasi cinta kasih dan kepatuhan
kepada Yang Maha Pencipta
selautan abadi

Korban
ada yang korban kasih, korban jiwa dan raga,
setulus hati
dalam kepompong dunia
bekalan ke negeri abadi

Rentetan perjalanan pengorbanan ini
jangan ada yang meratapi
dalam banyak segi pengorbanan
ada jiwa yang terkorban
dalam lebuh raya teknologi
penghubung jalan kota ke desa dan desa ke kota
suatu pemergian ke dunia asing yang abadi
tanpa dirancang yang sentiasa diingati
walaupun sedetik

aidiladha, haji dan korban
mungkin hari dan masa itu
menjadi lumrah qadak dan qadar-Nya
yang tercatat
tidak tertulis dalam kamus hidup
seorang insan mukmin sejati
dengan sebuah hati yang luhur
korban seorang hamba terhadap pencipta-Nya
memperbanyakkan amal ibadat dan mensyukuri segala nikmat
di suatu hari
raya aidiladha, raya haji dan raya korban.

aidiladha, haji dan korban
10.03 pagi, khamis, 12 januari 2006
(di pejabat: kenangan selepas balik kampung untuk menyambut hari raya korban di kampung -pantai Timur)

Wednesday, January 04, 2006

Terpahat Kenangan 2005


kenanganku bersamamu
waktu kau hadir
ku sambut dengan malam yang
berhiaskan lampu dan bunga api
kuciptakan sendiri
dengan azam yang teguh
dengan jati diri yang tidak pernah luntur

detik 12.00 malam itu
akan berlalu
dengan pengisian itu
bersama siang dan malam
kuhiasi dengan kata-kata pujangga
agar esok kaukan datang lagi
walaupun sekadar mimpi

dua belas bulan engkau di sini
dalam kekosongan waktu itu
kau dan mereka hiasi dengan titik perjalanan
yang tidak pernah terbuku
dalam catatan diari sepi
terukir ingatan dalam kamus hidup
mungkin ada yang menangisi
tidak kurangnya meratapi
sebagai kenangan yang dituai semusim abadi

mungkin mereka kan sedar
seperti aku
kau akan berlalu
yang berlari dalam suatu masa
menuntut jerih payah satu pengorbanan
suatu masa kan ada lahir tahun baru
menuntut kita hiasi kembali detik perjalanan ini
coretan perjalanan
di dalam hidup seharian
ada bermacam dugaan
mencari sebanyak mana asal terdaya
sebelum mentari menyelubungi
kita pun bangkit dari mimpi
menyambung semula pencarian
terhenti semalam
dalam tahun ini
kan ada dalam tahun depan
sama mungkin tidak serupa

kenangan 2005
(ditulis pada waktu pagi sebelum buat kerja, ketika aku teringatkan kenangan yang berlalu)
pukul 8.09/05 januari 2006